SENI VISUAL dan PENDIDIKAN


Seni visual adalah penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat kerana ciri-ciri sesuatu karya seni dipercayai boleh mempengaruhi tanggapan seseorang dari segi sosiologi dan psikologi.


Dalam hidup harian, kita sentiasa bertembung dengan barang-barang hasil daripada bidang seni seperti kereta, pen, majalah, makanan dsb. Jadi, bidang ini telah dijadikan sebahagian daripada kurikulum di sekolah dan institut pengajian tinggi. Di Malaysia, subjek "seni visual" boleh diambil oleh pelajar yang menduduki Peperiksaan Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM). Namun, buku rujukan untuk STPM adalah terhad dan cuma sebuah buku yang diterbit oleh Oxford Fajar dijual di pasaran.


Kerajaan juga menggalakkan pelajar-pelajar agar mereka menimba ilmu ini melalui internet supaya mereka diperlengkapkan pengetahuan yang mencukupi bagi menduduki STPM. Subjek ini adalah mustahak kerana ia adalah ilmu asas bagi mereka yang akan mengikuti senireka dalaman, seni reka grafik, seni reka automobil, fesyen, tekstil dsb.

Bidang SENI VISUAL

Dalam seni visual, bidangnya adalah seperti berikut:

  • Seni halus : lukisan, catan, cetakan dan arca
  • Visual Komunikasi : seni reka grafik dan multimedia (animasi dan laman web)
  • Seni reka teknologi : fesyen, tekstil, automobil, seramik
  • Seni reka persekitaran: landskap dan seni reka dalaman

Apa itu SENI ?


Seni merupakan istilah yang sukar ditakrifkan memandangkan perkataan ini boleh digunakan mengikut bidang masing-masing dengan makna yang lain. Dalam istilah bahasa, seni bermaksud halus, cantik dan teknik. Akan tetapi, ada yang menterjemahkan seni sebagai sesuatu yang cantik, indah, baik, dan cerdik yang boleh ditanggap melalui pancaindera seperti mata dan telinga. Boleh dikatakan seni merangkumi setiap aspek kehidupan manusia. Dalam era moden ini, seni juga melibatkan sesuatu yang kreatif dan inovatif.